KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini melancarkan program Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022.
Ia merupakan program berimpak tinggi dalam usaha menyebarluas keistimewaan dan manfaat menyimpan di SSPN untuk rakyat.
Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff berkata, PTPTN terus komited melaksanakan fungsinya iaitu menyediakan kemudahan pinjaman, menguruskan bayaran balik serta membudayakan amalan penabungan demi pembangunan modal insan.
“Sebagai Pengerusi PTPTN, saya sangat teruja melihat peningkatan ketara dari segi jumlah terimaan deposit Simpan SSPN.
“Ini membuktikan Simpan SSPN sentiasa dekat di hati Keluarga Malaysia sebagai tabung pendidikan terbaik untuk anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022, hari ini.
Dalam pada itu Apli berkata, BMS 2022 pada kali ini diadakan secara bersemuka berbanding tahun lepas yang diadakan secara dalam talian.
Ujarnya, pemilihan lokasi di Sunway Velocity Mall pada tahun ini adalah disebabkan tempat itu menjadi tumpuan orang ramai khususnya pada hujung minggu untuk membeli belah dan ia dilihat amat sesuai dengan konsep BMS 2022 untuk mendekati Keluarga Malaysia dengan penuh harmoni agar PTPTN setiasa dekat di hati mereka.
“Sempena pelancaran ini, PTPTN akan berkampung di sini selama tiga hari bermula semalam. Dengan tema baharu serta pelbagai aktiviti dan hadiah menarik yang disediakan, saya berharap BMS 2022 akan mendapat sambutan yang luar biasa.
“Pengunjung yang membuat simpanan akaun Simpan SSPN berpeluang menerima cenderahati eksklusif daripada PTPTN. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi kaunter PTPTN bagi memeriahkan program ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette