Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menolak usul yang mahu dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membahaskan permasalahan ekonomi negara.

Alasannya sudah banyak kali isu ini dibangkitkan di Dewan Rakyat dan ia sudah dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

“Saya dapati bahawa usul tersebut tidak perlu disegerakan kerana sebab yang saya nyatakan kepada Port Dickson (Anwar) dalam surat saya hari ini. Antaranya lainnya adalah persoalan tersebut telah dibincangkan dalam dewan amat banyak kali.

“Sebanyak lapan kali termasuk juga usul tergempar yang diusulkan Ahli Parlimen Pulai (Datuk Seri Salahuddin Ayub). Malah pada hari ini terdapat dua soalan mendekati perkara yang dinaikkan usul tersebut.

“Saya telah berikan lapan soalan untuk dijawab oleh Menteri Ekonomi pagi tadi. Esok pun ada satu soalan lagi,” katanya menjawab kenyataan Anwar hari ini.

Azhar Azizan berkata, pejabatnya sudah menerima usul yang dibawa Anwar pada 30 September lalu untuk dewan yang bersidang hari ini membincangkan masalah ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan mata wang negara yang telah menjejaskan kehidupan rakyat.

Sebelum itu, Anwar memohon agar Azhar Azizan untuk memberikan laluan kepada beliau untuk mengemukakan usul berkenaan dan dibahaskan di Dewan Rakyat awal hari ini.

“Sekiranya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Yaakob) tidak bersedia untuk mengemukakan, saya bersedia untuk mengemukakan usul berkenaan.

“Tidak ada keputusan muktamad daripada PM, jadi saya telah menulis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan disahkan supaya dewan membincangkan permasalahan ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah mata wang negara yang telah menjejaskan kehidupan rakyat dan dan isu ini teramat beri kesan kepada rakyat dan negara.

“Saya mohon Yang di-Pertua tegas memberikan laluan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan hari ini juga dan kemudian dijawab oleh PM,” katanya lagi.

Sebelum ini, Anwar bercadang untuk membawa usul bagi membincangkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit yang telah menjejaskan kehidupan rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga pernah mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri menggesa Ismail Sabri  mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi membahaskan masalah ekonomi apabila Parlimen bersidang semula hari ini.

Langkah itu, kata Anwar, perlu segera diambil kerajaan terutamanya ketika kejatuhan parah mata wang negara yang dilihat akan menjejaskan kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette