Kilang memproses tauhu antara tiga kilang memproses makanan yang diarahkan tutup serta merta selepas didapati kotor dalam operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, hari ini.

JASIN – Tiga kilang memproses makanan di sini diarah tutup serta merta selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan hari ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr Rushdi Abdul Rahman berkata, ketiga-tiga premis yang didapati kotor dalam operasi dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) itu melibatkan kilang memproses aiskrim, susu tepung dan taufu.

Menurutnya, kesemua premis terletak di kawasan kilang hab halal di Serkam dan Kawasan Perindustrian Jasin itu didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Dalam serbuan penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama Unit Inspektorat dan Perundangan JKN ini kita telah mengesan tiga buah kilang masing-masing tidak mematuhi tahap kebersihan ditetapkan.

“Susulan itu, semua premis itu telah diarahkan tutup serta-merta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Rushdi, dalam operasi sama, sebanyak 10 buah kilang dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana gagal menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam perkembangan sama, sehingga hari ini, JKN telah membuat pemeriksaan ke atas 73 kilang memproses makanan dan mengeluarkan 58 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Semua 58 kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan anggaran nilai keseluruhan RM47,350.

“Bagi memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dan tidak menyebabkan kemudaratan, semua premis pengilangan makanan disaran untuk mendapatkan sekurang-kurangnya persijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI),” ujarnya.

Operasi selama enam jam itu melibatkan kekuatan 30 pegawai dan anggota daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Perbandaran Jasin. – MalaysiaGazette