asyraf wajdi banjir
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal sebagai tidak menghormati perayaan Deepavali disambut dengan penuh sinis oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

Ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki  berkata, sepanjang tahun Malaysia dipenuhi dengan sambutan perayaan oleh masyarakat yang pelbagai kaum dan agama.

“Lepas Deepavali pula, hari Krismas menjelang bulan Disember. Thaipusam pada bulan Januari. Tahun Baharu Cina bulan Februari.

“Tiba pula bulan Ramadan dan Good Friday. Hari Raya Puasa selepas itu. Diikuti hari Wesak dan Pesta Kaamatan. Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pula pada bulan Jun.

“Pada bulan Julai kita sambut Hari Raya Haji. Diikuti perayaan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos. Dan Hari Malaysia bulan kemudian.

“Akhirnya tiba semula Deepavali. Ada alasan lain untuk tidak buat PRU-15 pada masa terdekat tak, Anthony?” tanya Asyraf Wajdi.

Kelmarin dalam satu kenyataan Anthony berkata, PRU-15 tidak wajar diadakan dalam tempoh terdekat ini kerana perayaan Deepavali.

Masyarakat beragama Hindu akan meraikan perayaan Deepavali pada 24 Oktober ini.

Anthony berkata, jika Parlimen dibubarkan pada bulan ini, bermakna PRU-15 akan diadakan ketika masyarakat India hendak menyambut Deepavali.

Menurutnya, jika PRU15 dilangsung pada bulan Januari pula, ketika itu masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina dan jika pada bulan April, masyarakat Islam akan menyambut Hari Raya.

“Kalau Parlimen dibubarkan pada bulan ini, ini tidak menghormati kaum India yang akan menyambut perayaan Deepavali. Adakah hendak bubar Parlimen sebelum sambutan Deepavali?

“Pemilihan tarikh pilihan raya perlu ada sensitiviti terhadap setiap kaum yang menyambut perayaan. Macam di Sabah dan Sarawak, takkan hendak buat pilihan raya negeri semasa perayaan Gawai, ini tak pernah berlaku.

“Jadi kalau hendak bubar Parlimen pada bulan ini, perayaan Deepavali sudah hampir. Bulan Januari pula sambutan Tahun Baharu Cina, bulan April pula hari raya.

“Disember perayaan Krismas, tapi biasanya Disember tidaklah (diadakan PRU15),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Perak.-MalaysiaGazette