Duda anak lima dijatuhi hukuman 12 bulan penjara di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul dan mencuri motosikal milik kekasihnya empat bulan lalu.

MELAKA – Duda anak lima dijatuhi hukuman 12 bulan penjara di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah mencabul dan mencuri motosikal milik kekasihnya empat bulan lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairil Rahmat, 44, yang membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan niat curang telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda kepunyaan Norazliza Mahat, 40, dianggarkan bernilai RM3,500 tanpa kerelaannya.

Kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan Matahari 8 Fasa 2, Taman Paya Rumput Perdana dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 22 Jun lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Pada prosiding sama, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul mangsa di lokasi dan waktu yang sama dengan cara meraba keseluruhan badan tanpa kerelaan mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa pada hari kejadian untuk berbincang mengenai hutangnya terhadap mangsa berjumlah RM25,000 sebelum ini.

Semasa perbincangan itu, tertuduh bertindak memegang mangsa dengan meraba di keseluruhan badan termasuk dada dan kemaluan tanpa kerelaannya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi kedua-dua kesalahan itu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta dijatuhkan hukuman penjara dijalankan dari tarikh ditangkap kerana dia perlu menjaga ayah yang sudah uzur.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara bagi setiap pertuduhan yang diarahkan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 24 Jun lalu. – MalaysiaGazette.