Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada sesi Dialog Anak muda ketika di Program Idea Bina Negara Anak Muda Keluarga Malaysia di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UITM, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 04 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Sebanyak 57.9 peratus penyumbang idea terbesar dalam platform Idea Bina Negara (IBN) adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari jumlah itu, sebanyak 12 peratus anak muda telah menyuarakan tentang isu politik.

“Saya percaya, platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

“Saya difahamkan, aplikasi ini telah menerima lebih dari 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara.

“Kira-kira 12 peratus menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin,” katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran IBN Anak Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri mengadakan dialog bersama para belia dengan kehadiran seramai kira-kira 4,000 orang yang hadir secara fizikal manakala kira-kira 50,007 orang hadir secara maya yang terdiri daripada para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negeri

Sehingga 30 September 2022, idea dan pandangan yang telah berjaya dikumpulkan adalah sejumlah 12,794 idea daripada seramai 10,090 responden.

Perdana Menteri berkata, terdapat 46.2 peratus hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan.

“Kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini. Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan.

“Ia membenarkan majikan menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

“Peruntukan RM4.8 bilion pula disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia. Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia,” katanya.

Katanya lagi, analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (Ai) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN bersifat positif dan membina.

“Berdasarkan data dan maklumat yang diperoleh ini, akan membantu kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak-anak muda.

“Sesungguhnya, kerajaan memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia. Suara anak muda Malaysia, kami dengar, kami cakna dan kami santuni,” katanya lagi. – MalaysiaGazette