MUSIM tengkujuh dan penularan melioidosis tengkujuh yang sedang melanda negara dijangka berterusan sehingga Mac 2023. Hujan dan banjir meningkatkan risiko penyakit berbahaya seperti melioidosis. Melioidosis merupakan penyakit endemik di kebanyakan kawasan beriklim tropika termasuk Malaysia. Pahang adalah antara negeri yang paling banyak merekodkan kes melioidosis.
Penyakit ini adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria yang dikenali sebagai burkholderia pseudomallei. Ia berasal dari tanah, lumpur dan sumber air. Kawasan berpotensi untuk dicemari adalah tanah disekitar kediaman, bendang, ladang sawit dan kebun getah, terutamanya selepas hujan. Sebaran kepada manusia adalah secara sentuhan lansung melalui rekahan kulit atau dengan menghidu debu tanah atau titisan air yang tercemar.
Sesiapa sahaja boleh dijangkiti tetapi pesakit kencing manis, pesakit dengan masalah hati, paru-paru dan buah pinggang yang kronik, talasemia, kanser atau pesakit yang lumpuh sistem ketahanan badan, boleh mengalami jangkitan yang lebih serius. Pesakit kebiasaanya mula bergejala antara dua hingga empat minggu selepas terdedah kepada jangkitan. Kebanyakan pesakit mengalami demam panas, batuk, sakit dada, sakit kepala, kurang selera makan dan susut berat badan.
Ia juga boleh menyebabkan terjadi pelbagai gejala lain seperti bengkak, sakit, kudis dan nanah pada kulit yang sukar untuk sembuh. Pesakit juga boleh mengadu sakit perut, kerap dan sakit ketika membuang air kecil. Jika lambat dirawat, pesakit boleh merosot dengan pantas. Pesakit mudah menjadi keliru, hilang kesedaran, sawan dan boleh berakhir dengan kematian.
Beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan bagi mengelakkan jangkitan. Pemakaian alas kaki ketika keluar rumah dan pemakaian sarung tangan ketika melakukan perkerjaan yang terdedah kepada tanah, lumpur dan sumber air harus dititikberatkan. Luka atau rekahan pada kulit hendaklah dibalut menggunakan balutan kalis air dan dielakkan daripada terdedah.
Pakai pelitup muka jika terdedah kepada debu tanah ketika berkerja. Kekal berada di dalam rumah ketika angin kuat atau hujan lebat. Segera dapatkan rawatan jika mengalami gejala Melioidosis terutamanya pesakit rentan yang mudah terkesan.
Penolong Prof Dr Norhidayah Kamarudin
Pakar Mikrobiologi Klinikal,
Jabatan Patologi & Perubatan Makmal &
Penyelaras Unit Pencegahan Jangkitan & Kawalan Antibiotik,
Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @ UIAM