Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semasa sesi lawatan pelaksanaan Proof Of Concept (POC) penghasilan gigi palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D ketika di Klinik Pergigian Botanik, Bandar Botanik, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 04 OKTOBER 2022.

KLANG – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai agar mendapatkan khidmat doktor yang diiktiraf untuk tujuan rawatan dan pemasangan gigi palsu.

Ini kerana, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pihak penguatkuasa KKM telah banyak kali membuat serbuan ke atas pihak yang menyediakan perkhidmatan itu tetapi tidak mendapat pengiktirafan kementerian.

“Baru-baru ini kita telah melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur berdasarkan maklumat orang ramai mengenai aktiviti doktor palsu.

“Saya difahamkan di Setapak ini lubuk doktor gigi palsu tidak iktiraf oleh KKM dan kita akan terus membuat serbuan apabila mendapat maklumat supaya amalan doktor palsu ini dapat dikekang dan dihentikan.

“Jika didapati bersalah, hukuman dan dendanya besar iaitu denda maksimum RM300,000 dan penjara maksimum enam tahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Pergigian Botanik di Bandar Botanik, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM, Dr. Noormi Othman dan Pegawai Pergigian, Dr. Cecilia Mariasossay.

Khairy berharap, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan doktor gigi tanpa tauliah boleh melaporkan terus kepada KKM untuk diambil tindakan.

“Saya beri jaminan sebaik terima aduan dan maklumat, anggota penguatkuasa KKM akan membuat serbuan,” katanya. – MalaysiaGazette