Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan bersama-sama mencari mekanisme penyelesaian segera berkaitan isu gaji penjawat awam yang dilihat tidak memadai dengan persekitaran semasa ekonomi ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, CUEPACS menyokong sepenuhnya komitmen Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Abang Johari Openg yang sedang mengkaji beberapa mekanisme bagi memastikan penjawat awam di negeri itu menerima kebajikan kewangan yang lebih baik.

Menurutnya, usaha ini sewajarnya diikuti oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain dengan Kerajaan Persekutuan perlu bertindak sebagai penyelaras.

”CUEPACS yakin penglibatan yang serius di peringkat negeri dan persekutuan mampu mencari mekanisme berkesan bagi menyelesaikan permasalahan gaji penjawat awam supaya lebih ‘mesra’ dengan persekitaran ekonomi semasa negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Adnan, hasrat ini jugalah yang diperjuangkan oleh CUEPACS supaya kerajaan memberikan keutamaan untuk menyemak semula gaji dan elaun yang diterima oleh penjawat awam pada masa kini dalam menangani kesan perubahan kenaikan harga barangan.

Ketika ini sektor swasta telah melaksanakan gaji minimum RM1,500 berkuatkuasa 1 Mei lalu dan ia wajar diikuti sektor awam bagi mengimbangi keperluan semasa penjawat awam.

Lagipun, situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan harga rumah serta kejatuhan mata wang memerlukan penetapan gaji minimum baharu diatas pendapatan garis kemiskinan (PGK).

Jelas beliau, CUEPACS yakin penetapan gaji minimum baharu untuk sektor awam dengan diikuti latihan dan pembangunan mampu meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. – MalaysiaGazette