KUALA LUMPUR – Terdapat kira-kira 80 lagi pekerja Malaysia yang masih bekerja di sebuah syarikat yang melakukan sindiket penipuan yang didalangan oleh warga China di Laos.

Pendedahan itu dibuat oleh salah seorang mangsa yang selamat tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) smalam tadi.

Menurutnya, dia di Laos selepas ditawarkan peluang pekerjaan di pusat panggilan dengan bayaran gaji sebanyak 7,000 yuan (RM4,572) sebulan, Mac lalu.

Di sana, katanya, dia dilatih menjadi ‘scammer’ di sebuah bangunan yang belum siap dan tidak dibenarkan meninggalkan premis berkenaan di Wilayah Bokèo, Laos.

Malangnya, sepanjang bekerja di sana, dia dan empat rakannya gagal mencapai sasaran sindiket menyebabkan mereka hanya menerima sekali sahaja gaji sepanjang lapan bulan bekerja.

Menurutnya, kelima-lima mereka pernah meminta untuk pulang tetapi dengan syarat perlu membayar 500,000 Yuan (RM326,587).

Malah, mereka diugut akan diseludup ke Myanmar jika melarikan diri.

“Setakat ini, masih terdapat empat lelaki warga Malaysia ditahan di dalam bangunan itu tetapi menurut salah seorang rakan di bangunan (sindiket) lain, terdapat lebih kurang 80 lagi pekerja warga Malaysia di situ” katanya lagi.

Mereka yang berusia lingkungan antara 27 hingga 38 tahun itu pulang menaiki pesawat Thai Smile Airways ke Bangkok, Thailand dan kemudian mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 malam

Mereka disambut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, serta ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Musa berkata, mangsa berjaya melarikan diri dua minggu lalu dengan bantuan orang tempatan dan bersembunyi di sebuah rumah sebelum diselamatkan pihak kedutaan Malaysia.

Katanya, mereka menghubungi ahli keluarga, serta MHO dan MCCC untuk meminta bantuan.

“Selepas mangsa melarikan diri, sindiket menguar-uarkan ‘kehilangan’ mereka  dan meletakkan ganjaran sebanyak 1 juta yuan (RM653,175) untuk menangkap mereka” katanya.

Menurut Musa, mangsa-mangsa aini telah dibantu oleh Kedutaan Malaysia di Laos dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Mengulas mengenai kesukaran menyelamatkan rakyat Malaysia di Myanmar, beliau yang juga bekas Ketua Polis Negara berkata, ia kerana pihaknya kurang hubungan dan kerjasama dengan pihak Kerajaan Myanmar.

Justeru beliau mencadangkan Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada kerajaan negara itu dan harus dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kata Musa, sebuah Tabung Kemanusiaan telah dilancarkan oleh MCCC untuk operasi menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana,

Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan sukar untuk mangsa-mangsa sindiket ini pulang adalah kos penginapan, logistik dan bayaran kompaun kepada imigresen di negara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast