KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yakin pembangkang tidak akan memulaukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan semasa musim banjir.
Beliau mendakwa mereka sebagai hipokrit dan tetap mahukan kuasa.
“Mereka sanggup redah banjir. Kecuali kereta terbang siap. Rafizi Ramli juga akan redah banjir. Sama juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Dia pun anak jantan. Bukan jantan palsu.
“Lagi-lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semua mahu jadi Perdana Menteri.
“Banjir pun banjirlah. Tetapi mujur bukan undi online. Kalau undi online, Rafizi dan PKR akan menang besar?” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Pada masa ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai tidak bertanggungjawab kerana mahu PRU15 diadakan tahun ini juga.
Mereka memberi alasan tindakan itu akan memberi risiko kepada nyawa dan harta rakyat kerana musim banjir dijangka bermula bulan depan.
Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin BN termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, PH, PN dan GTA tidak mahu PRU-15 diadakan lebih awal kerana mereka takut kalah. – MalaysiaGazette
















