Empat individu termasuk anak dan bapa antara didakwa membabitkan penipuan NAR Trading di Mahkamah Sesyen George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Pengarah Urusan Nar Trading Traders Sdn Bhd serta Ketua Pegawai Pemasaran syarikat itu bersama isteri serta anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 150 pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM300 juta, antara Mei 2018 hingga Disember 2020.

Tertuduh pertama, Mohd Nasri Abdul Rahim, 36; Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53; Resool Bivi Yusof Gini, 50 (isteri Abdul Wahab); dan anak mereka, Nur Hafeezah Abdul Wahab, 26; membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Khalid Abdul Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Nasri didakwa atas 118 pertuduhan menerima, memindah dan menggunakan antara RM50,000 hingga  RM15.86 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk kegunaan peribadi termasuk pembelian saham.

Di mahkamah sama, Abdul Wahab, didakwa atas 30 pertuduhan termasuk dua pertuduhan bersama isteri serta anaknya iaitu menerima, memindah dan menggunakan antara RM11,868 hingga RM117 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram untuk kegunaan peribadi termasuk pembelian hartanah.

Sementara itu, Nur Hafeezah iaitu anak kepada Abdul Wahab didakwa atas satu pertuduhan memindahkan RM114,225 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk pembelian hartanah.

Manakala Resool Bivi pula didakwa atas satu pertuduhan memindahkan RM98,674 yang merupakan hasil aktiviti haram untuk pembelian hartanah.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi sekitar Semenanjung negara sejak Mei 2018 hingga Disember 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala Mohd Nasri diwakili peguam bela, S. Raveentharan serta Mashitah Jamaluddin@ Mohammad Shukri pula mewakili Abdul Wahab.

Mahkamah menetapkan jaminan RM500,000 terhadap Mohd Nasri dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Abdul Wahab pula dibenarkan ikat jamin RM110,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagi Nur Hafeezah pula, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 manakala RM10,000 terhadap Resool Bivi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 15 November depan. – MalaysiaGazette