PRN Johor
Foto hiasan

PEMBENTUKAN kerajaan di Malaysia adalah menerusi Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di mana terbentuknya kerajaan itu melalui proses pemilihan dari rakyat menerusi Pilihan Raya Umum. Proses Pilihan Raya Umum (PRU) akan dekat dengan masyarakat apabila tempoh dewan rakyat akan tamat selepas maksimum 5 tahun ahlinya dipilih dan diundi. Ianya juga akan lebih difahami apabila kerajaan yang dipilih dan dibentuk akan terbubar apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerusi Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan membubarkan parlimen. Fasal1 perkara 40 mengatakan Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan nasihat jemaah menteri atau seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am iaitu Perdana Menteri.

Perkara ini terkandung juga di dalam silibus subjek pengajian am atau kenegaraan di peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Secara teorinya sukar difahami kerana ianya perlu melibatkan simulasi tindakan dengan diikuti pengumpulan data. Ianya lebih mudah difahami apabila keterlibatan rakyat terhadap proses demokrasi itu sendiri. Kematangan rakyat Malaysia dalam menghadapi pilihan raya khususnya dalam pembuangan undi yang melibatkan pemilihan calon berdasarkan parti boleh dilihat dalam PRU yang lepas.

Ada keputusan kemenangan dilihat bersandarkan kepada individu bukannya parti dan ada juga sebaliknya. Tsunami politik tanahair yang berlaku sejak PRU 13 dan 14 menyegarkan akan kesediaan golongan muda untuk mencongak masa depan negara. Ini terbukti apabila melihat trend pengundian generasi muda yang berjaya menentukan kemenangan sesebuah parti politik pada PRU ke-14. Saluran 3 hingga 7 yang kebiasaannya melibatkan pembuangan undi berumur antara 22 – 39 tahun membuktikan faktor penyumbang kepada kemenangan sesebuah kerusi dipertandingkan.

Justeru itu, melihat kepada trend pengundian ini menunjukkan kesedaran generasi muda ke atas pembentukan sebuah kerajaan menerusi pilihanraya. Kepentingan generasi muda yang akan mewarisi tanah pusaka Malaysia yang merdeka ini tidak sekadar dicanang melalui program-program patriotisme setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Ia sewajarnya diberi platform yang lebih utuh dan jitu sebagai rakyat Malaysia yang turut menyumbang kepada kepesatan sosioekonomi dan budaya.

Atas faktor inilah, pada Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Sejarah yang melakar kesemua ahli dewan rakyat meluluskan undang-undang ini telah menggambarkan bahawa kesediaan parti-parti politik dalam menerokai
peluang baharu dalam melibatkan generasi muda bukan sahaja sebagai pengundi malah sebagai calon untuk PRU akan datang.

Dalam konteks institusi pengajian tinggi (IPT), golongan mahasiswa adalah termasuk di dalam lingkungan umur yang membolehkan mereka menjadi sebahagian dari penentu masa depan negara. Pelaksanaan program pendidikan pengundi di Universiti Awam (UA) yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Ia merupakan manifestasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada pelaksanaan
Undi18 di peringkat IPT di Malaysia. Antara inisiatif yang diperkenalkan dalam program ini ialah melaksanakan program kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa, menandatangani memorandum persefahaman antara UA dalam memberi pendedahan dan literasi politik serta penerapan sivik dan kenegaraan melalui penghayatan etika dan peradaban serta falsafah dan isu semasa yang menjadi subjek teras di semua IPTA.

Selain dari itu, KPT melalui UA dan Suruhanjaya Pilihan  Raya (SPR) telah menubuhkan jawatankuasa program memperkasakan pendidikan pengundi mahasiswa bagi merancang pelaksanaan program-program pendidikan yang secara faktanya akan menjadi pengundi buat pertama kali pada PRU akan datang.  Pendekatan secara proaktif ini telah mempelbagaikan inisiatif dalam melahirkan mahasiswa yang prihatin dan cakna terhadap sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan yang demokrasi serta membuka ruang seluasnya kepada mahasiswa dalam membicarakan isu-isu berkaitan Undi18 menerusi bengkel, seminar, kursus, forum yang akan memberi impak dan keberkesanan yang tinggi kepada peranan mahasiswa itu sendiri sebagai pemimpin masa hadapan negara.

Bukan itu sahaja, malah golongan mahasiswa juga berpeluang mempersiapkan diri sebagai pemimpin negara apabila turut berpeluang menjadi calon dalam pilihan raya umum dengan menjadikan platform pilihan raya kampus sebagai pemimpin mahasiswa apabila mempelajari kaedah membawa isu-isu kebajikan mahasiswa secara konsisten dan menjadikan platform perundingan dengan pengurusan universiti sebagai dewan rakyat.

Dalam pada itu, pelaksanaan program pendidikan pengundi di Universiti Awam (UA) ini turut memenuhi semangat aspirasi Keluarga Malaysia iaitu nilai kebersamaan. Kebersamaan ini dapat dilihat apabila rakyat dalam segenap Keluarga Malaysia bersatu padu, prihatin dan meraikan transformasi politik yang akhirnya berjaya mencari titik persamaan dalam jurang perbezaan yang wujud disamping menerapkan nilai toleransi dengan memiliki fikiran yang terbuka dan bersepakat dalam menghadapi cabaran mendatang.

Sebagai mahasiswa keterangkuman strategi dan nilai di atas melalui pelaksanaan program berterusan ini telah membuka ruang dan peluang yang luas dalam menyemai sikap dan membentuk personaliti serta daya juang yang tinggi. Keterlibatan mahasiswa dengan nilai kematangan yang tinggi apabila didedahkan dengan transformasi politik ini tidak lagi disekat dalam membahaskan hujah-hujah yang intelek dan berfakta.

Malah  mampu mendampingi komuniti luar kampus yang terdiri daripada penggerak masyarakat, pelajar sekolah dan komuniti setempat dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta memudahkan penyampaian perkhidmatan melalui saluran-saluran yang diwujudkan dalam mendekatkan universiti dengan komuniti. Peranan universiti juga bukan sahaja melalui bahagian Hal Ehwal Pelajar, malah di Bahagian Akademik, Bahagian Komuniti, Jaringan Industri , Fakulti Pengajian turut terus memperkasakan nilai-nilai murni rakyat Malaysia melalui pelbagai inisiatif program yang mampu memperkukuhkan slogan juara perpaduan yang akhirnya menyokong aspirasi Keluarga Malaysia dan mendukung Wawasan Kemakmuran Bersama di kalangan seluruh warga universiti.

Oleh: Raja Shah Erman Raja Arifin
Presiden
Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast