Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Malaysia telah berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III untuk penggal 2022 hingga 2025.

Malaysia telah memperolehi 136 undi.

Selain Malaysia, negara anggota ICAO lain yang telah berjaya memenangi pemilihan di bawah Kategori III ialah Bolivia (138), Chile (146), El Salvador (132), Equatorial Guinea (145), Ethiopia (154), Ghana (150), Jamaica (149), Mauritania (143), Qatar (160), Republik Korea (151), Romania (138), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (161) dan Zimbabwe (148).

Kategori III adalah negara-negara yang dipilih untuk memastikan keseluruhan kedudukan geografi dunia mempunyai wakil dalam Majlis ICAO.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, dengan kejayaan ini, Malaysia telah berjaya mengekalkan keahlian dalam majlis tersebut selama enam penggal berturut-turut bermula tahun 2007.

”Kejayaan ini adalah hasil sokongan, kerja keras dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke ICAO, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, para pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian
Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia serta pihak industri penerbangan awam Malaysia khususnya daripada Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Batik Air, Raya Airways, Myjet Express, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.

”Kementerian Pengangkutan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan kejayaan Malaysia mempertahankan kerusi Ahli Majlis ICAO bagi penggal 2022-2025,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ka Siong menambah, beliau turut mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan kali ini untuk menjalankan pelbagai usaha melobi supaya Malaysia dapat mengekalkan kerusi Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori III untuk penggal 2022-2025.

Secara keseluruhan, Malaysia telah mengadakan sebanyak 44 mesyuarat dua hala dengan ketua delegasi dari pelbagai negara termasuk kumpulan serantau.

Pada asalnya, sebanyak 15 negara telah menyatakan hasrat untuk bertanding merebut 13 kerusi Ahli Majlis ICAO yang dipertandingkan bagi Kategori III yang mana Malaysia telah menghadapi persaingan sengit daripada negara-negara yang turut bertanding dalam kategori yang sama.

Walau bagaimanapun terdapat sebuah negara yang menarik diri dengan tidak mengemukakan pencalonan setelah tarikh pencalonan ditutup. – MalaysiaGazette