Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hadir Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Putrajaya, hari ini. Foto Ihsan JAKIM

PUTRAJAYA – Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62 yang akan berlangsung selama enam hari bermula 19 hingga 24 Oktober ini bakal menerima penyertaan baharu dari dua buah negara Eropah iaitu England dan Kanada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, seramai 41 peserta daripada 31 negara berjaya melepasi sesi saringan dan mereka akan menyertai acara tahunan itu di negara ini.

“Antara negara yang turut terlibat adalah Afghanistan, Afrika Selatan, Brunei, Bosnia, Kenya, Mauritania dan banyak lagi. Dengan penyertaan julung kali dari England dan Kanada adalah kerana mereka merupakan minoriti Islam besar di sana.

“Kita juga lakukan sesi saringan adalah untuk mencari calon-calon yang berkualiti dalam bacaan Al- Quran mereka di peringkat antarabangsa.

“Ini kerana Malaysia tidak pernah gagal dalam menganjurkan MTHQA setiap tahun malah negara ini juga pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize Of Holy Quran,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyaksikan pentas Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), di Putrajaya, hari ini. Foto Ihsan JAKIM

Beliau berkata pada sidang media Pra-Pelancaran MTHQA Ke-62 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), di sini, hari ini.

Tambah beliau, Jawatankuasa Induk MTHQA bersetuju sebulat suara semua peserta MTHQA perlu melalui sesi saringan.

Menurut Idris, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA dijalankan pada 1 hingga 7 Julai yang lalu secara atas talian yang melibatkan penyertaan 64 orang daripada 40 buah negara.

“Katanya, sesi saringan itu dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang Al-Quran.

“Dalam pada itu, MTHQA akan menampilkan juri berpengalaman dari luar dan dalam negara yang akan menilai peserta,” ujarnya.

Idris memaklumkan, lazimnya penganjuran MTHQA melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk.

Namun disebabkan negara masih berada pada fasa peralihan endemik, penganjuran MTHQA kali ini hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah Al-Quran, katanya

Beliau memberitahu, MTHQA ke-62 kali ini bakal menampilkan kelainan dan keunikkan dengan menggunakan sistem teknologi 3D AR Grafik.

Jelasnya, bagi menarik perhatian dan menyentuh jiwa penonton sepanjang mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran.

Sehubungan itu, Idris menjemput orang ramai menyaksikan MTHQA yang akan diadakan di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

MTHQA juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan mulai 8.45 hingga 11.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast