Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bercakap dalam sidang media Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Putrjaya, hari ini. Foto Ihsan JAKIM

PUTRAJAYA – Pas akan mengadakan Jawatankuasa Kerja PusatĀ  pada Sabtu ini untuk memilih rakan kongsi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu akan memuktamadkan pemilihan antara Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) yang turut diserta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambah beliau, perkara lain yang akan dibangkitkan bersama pucuk pimpinan pada mesyuarat itu ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diterajui parti itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu secara serentak sekiranya Parlimen dibubarkan untuk membeli laluan kepada PRU15.

“Nanti Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan keluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Insyaallah sebelum hujung minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), di siniu, hari ini.

Sebelum ini, Takiyuddin memaklumkan Pas yang menerajui tiga negeri itu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.

Mengulas mengenai kecenderungan Pas untuk bekerjasama pada PRU15, Idris berkata, parti itu ingin bekerjasama dengan PN dan UMNO.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding PRU15, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, perkara tersebut akan diputuskan pucuk pimpinan parti. – MalaysiaGazette