KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan waris kepada seorang lelaki warga Korea Utara untuk penyerahan barangan milik peribadi milik mendiang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Kim Chol berusia yang 52 tahun berasal dari Pyongyang, Korea Utara.

Katanya, lelaki berkenaan meninggal dunia dua tahun lalu namun barangan peribadi miliknya masih berada dalam simpanan polis.

“Hebahan ini dibuat bagi tujuan untuk mengesan waris kepada mendiang (Kim Chol) untuk tujuan pemulangan barangan peribadi termasuk sejumlah wang tunai miliknya yang masih dalam simpanan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah beliau, waris boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Anuar Hanim di talian 016-4258222 atau datang ke Ibu Pejabat Daerah Sepang untuk mengambil barang peribadi mendiang Kim Chol.

Menurut Wan Kamarul Azran, sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh enam bulan selepas tarikh hebahan, barangan milik mendiang akan diserahkan kepada Perbendaharaan Malaysia. – MalaysiaGazette