Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan wujud amalan berunsurkan perkauman dalam menyediakan bank soalan bagi murid sekolah rendah yang menduduki ujian akhir sesi akademik.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, segala proses dalam menyediakan bank soalan itu berdasarkan lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik.

“Mengenai subjek di sekolah rendah, (bank soalan) itu adalah (untuk) subjek teras, tidak kira subjek apa atau bahasa apa, kalau itu adalah subjek teras, itu (bank soalan) yang kita sediakan untuk murid sekolah rendah. Ini bukan soal perkauman.

“Kita tidak mahu nanti akan ada satu tekanan besar kepada murid untuk melihat bahawa ujian akhir tahun ini sebagai satu ujian yang besar,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat.

Radzi berkata demikian bagi menjawab pertanyaan soalan tambahan Teo Nie Ching (Kulai-PH) yang ingin tahu mengenai tindakan KPM yang tidak menyediakan bank soalan secara menyeluruh terutama bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina atau Tamil.

Dalam pada itu, Radzi berkata, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bukanlan sesuatu yang baharu kerana ia sudah diperkenalkan pada 2011 untuk sekolah rendah dan sekolah menengah pada 2012.

“Perkara ini sebenarnya sudah dilaksanakan 10 tahun lalu, bukan sesuatu yang baharu dan jika kita bercakap soal kekangan dalam konteks memerlukan setiap kelas kurang 25 orang dan sebagainya, ini menyebabkan kita tidak dapat melaksanakan satu perubahan besar kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas.

“Sebab itu mana-mana pembuatan dasar di dunia, setiap dasar ada kekangan masing-masing dan kita membuat keputusan berdasarkan kekangan yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast