Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendaliannya setiap hari bermula Jumaat ini sehingga Isnin berikutan cuti sambutan Maulidur Rasul.

Jumlah ini merupakan lonjakan daripada 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa.

Lantaran itu, orang ramai digesa merancang perjalanan mereka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan dan memanjangkan tempoh perjalanan mereka.

Menurut Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, sejak beralih ke fasa endemik, PLUS telah merekodkan jumlah trafik harian sepertimana tempoh pra-pandemik iaitu 1.7 juta kenderaan setiap hari pada hari-hari biasa.

”Pada ketika ini, jumlah tersebut melonjak kepada 1.9 juta kenderaan pada hujung minggu dan menjangkakan ia berterusan ketika cuti hujung minggu ini dan cuti sambutan Maulidur Rasul di mana pelanggan lebuh raya akan mengambil kesempatan cuti selama 3 hari.

”Oleh itu, kami menasihatkan supaya pelanggan yang ingin menggunakan lebuh raya pada hujung minggu ini supaya membuat persediaan dan memastikan kenderaan mereka berada di dalam keadaan yang baik bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesesakan akibat lonjakan trafik tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum memasuki lebuh raya, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan e-Wallet (bagi mereka yang menggunakan RFID) dan memastikannya sentiasa mempunyai baki yang mencukupi dan tambah nilai sebelum memulakan perjalanan untuk mengelakkan kesulitan ketika keluar di plaza tol, tambahnya. – MalaysiaGazette