hilang kepercayaan
Salinan surat yang diutuskan 12 menteri PN kepada Yang di-Pertuan Agong.

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan sama ada surat yang diutuskan oleh 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap hilangnya kepercayaan anggota Kabinet terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, menurut Klausa 4, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sudah hilang kepercayaan majoriti, beliau boleh menasihatkan Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen atau meletakkan jawatan.

“Saya yakin Perdana Menteri lebih bijaksana untuk membuat keputusan yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Apa pandangan pakar perlembagaan mengenai isu ini?” soalnya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Asyraf Wajdi turut berkongsi salinan surat yang ditandatangani Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.

Dalam surat tersebut, mereka menyatakan tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini kerana Monsun Timur Laut akan bermula November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

Mereka berkata, Jabatan Meteorologi telah meramalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya anak menerima taburan hujan lebat sepanjang tempoh itu yang akan menyebabkan banjir besar.

“Mengadakan pilihan raya semasa banjir melanda negara pastinya akan menyusahkan rakyat jelata di samping mendatangkan banyak masalah dari segi logistik dan pengurusan pilihan raya.

“Kadar keluar mengundi juga berkemungkinan amat rendah dan ini akan menjejaskan keabsahan mana-mana kerajaan yang bakal dibentuk selepas PRU nanti,” kata mereka.

Pada masa yang sama, kata 12 menteri terbabit, negara masih dalam proses pemulihan ekonomi yang memerlukan tumpuan penuh kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit.

Mereka memberitahu, kerajaan juga mesti memberi tumpuan untuk meluluskan Bajet 2023 terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan.

“Berdasarkan pengamatan patik-patik sekalian jua, sentimen majoriti rakyat pada masa ini menunjukkan mereka tidak bersetuju dengan desakan supaya pilihan raya diadakan pada tahun ini,” jelas mereka.

Mereka juga telah menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun dalam beberapa mesyuarat Kabinet sebelum ini dan berpandangan ia sebaik-baiknya diadakan selepas monsun timur laut berakhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. asyraf buat lupa umnongok dengan 15 org ZAHID berpalit dengan P unah H arapan MERATIB SETIAP hari GAGAL GAGAL …PN dgn covid…skrg pun belum SIFAR COVID bawah ISMAIL SABRI..berdegar cakap petik jari atau tempoh 100 hari BOLEH SELESAI

    Kerajaan skrg pun bukan majoriti umnongok…tapi SIBUK PAKSA BUBAR PARLIMEN ALASAN dari dulu tidak stabilll

Comments are closed.