Abdul Razib Dawood (tengah) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas dalam OPS Renjat di Bangunan Berlian, Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Lima premis komersial tidak berpenghuni yang dijadikan pusat melombong bitcoin dengan menggunakan sambungan bekalan elektrik secara haram diserbu dalam Ops Renjat di Kajang, kelmarin.

Operasi bersepadu ini diketuai oleh Suruhanjaya Tenaga (ST)  bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Pegawai Eksekutif ST, Abdul Razib Dawood berkata, sebanyak 349 unit mesin bitcoin termasuk cakera keras, wayar dan kipas  yang bernilai melebihi RM2 juta  dirampas dalam operasi tersebut.

Menurutnya, operasi lombong bitcoin tersebut menyebabkan TNB mengalami kerugian dengan nilai melebihi RM1.3 juta kerana premis berkenaan melakukan sambungan pintasan haram.

“Operasi dijalankan selepas menerima aduan daripada pengguna yang kerap mengalami gangguan elektrik dan masalah itu diintip oleh ST dan TNB.

“Kegiatan mencuri elektrik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan masalah gangguan bekalan elektrik dan memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, tiada seorang pun individu yang berada dalam premis semasa serbuan dijalankan dan siasatan akan dibuat berdasarkan penama pada bil elektrik iaitu pemilik bangunan.

“Pemilik premis diingatkan supaya berhati-hati apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak dan hendaklah prihatin dengan aktiviti yang dijalankan penyewa,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Abdul Razib turut memberi amaran dan peringatan kepada orang ramai agar tidak mengganggu pepasangan meter atau elektrik milik utiliti serta melaporkan kepada ST atau TNB sekiranya mendapati berlaku sebarang kejanggalan atau terdapat sambungan haram.

Tambah beliau, kesemua mesin perlombongan bitcoin yang dirampas akan disita dan dilupuskan dan agensi penguatkuasaan lain di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, 2001 (Akta 613).

Kes disiasat di bawah Seksyen 37(3), Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447] dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama atau denda sehingga RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya. – MalaysiaGazette