Norena (tengah) melihat baja padi bersubsidi di sebuah gudang haram menyimpan 500 tan gula pasir yang telah rosak akibat banjir dan baja keseluruhannya berjumlah RM4.5 juta di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka hari ini.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menyita sebuah gudang haram menyimpan 500 tan gula pasir yang telah rosak akibat banjir dan baja padi bersubsidi keseluruhannya berjumlah RM4.5 juta di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan sepasukan pegawai dan anggota kira-kira pukul 11 pagi itu turut menahan pemilik gudang, lelaki berusia 60 tahun serta dua lelaki warga asing yang merupakan penjaga gudang berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati gula yang telah rosak antaranya akibat banjir dan baja bersubdisi itu disimpan di tempat yang tidak dilesenkan.

Norena Jaafar

“Dalam serbuan itu, kita menjumpai keseluruhannya lebih 300 tan gula dalam pek satu kilogram yang sudah rosak antaranya akibat banjir serta 200 tan baja bersubsidi dalam guni bersaiz 20 dan 50 kilogram keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM4.5 juta.

“Semakan lanjut juga akan dilakukan untuk mengetahui bagaimana baja yang tertera perkataan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan dan Hak Milik Kerajaan Tidak Boleh Dijual Beli boleh disimpan di gudang yang tidak dilesenkan ini.

“Pemilik mendakwa, semua baja itu adalah untuk kegunaan sendiri namun siasatan lanjut perlu dilakukan kerana tiada permit simpanan dan jumlahnya yang telalu besar,” katanya pada sidang media hari ini.

Baja padi bersubsidi di sebuah gudang haram menyimpan 500 tan gula pasir yang telah rosak akibat banjir dan baja keseluruhannya berjumlah RM4.5 juta di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, hari ini.

Tambah Norena, siasatan awal juga mendapati, semua gula berkenaan diambil dari stok yang telah rosak sebelum dijual semula untuk kegunaan industri pembuatan makanan.

“Gula yang telah rosak ini contohnya akibat terkena banjir tapi dijual pada harga yang lebih murah untuk diproses pihak industri makanan seperti menghasilkan gula Melaka atau snek makanan ringan.

“Bahan asas bersubsidi ini tidak luput dan dipek semula namun masih boleh digunakan dalam makanan selepas melalui proses tertentu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) memperuntukkan mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya membabitkan syarikat, boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast