KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan petisyen dalam talian membantah Pilihan Raya Umum ke-15 dilaksanakan tahun ini.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu menggunakan musim monsun sebagai faktor bahawa PRU-15 tidak wajar dilaksanakan tahun ini.

Petisyen tersebut ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kami Rakyat Malaysia, memohon kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengutamakan keselamatan dan kemudahan rakyat sebelum memutuskan pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU15 tahun ini semasa musim monsun,” katanya.

NGO yang pro Pakatan Harapan itu berkata, tindakan tergesa-gesa untuk mengadakan PRU pada bulan November atau Disember adalah satu langkah yang tidak bertanggungjawab.

Bersih juga berkata, melaksanakan PRU-15 pada tahun ini merupakan tindakan yang mementingkan diri.

Pelaksanaan PRU itu akan menyusahkan pengundi di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Ia juga melibatkan wilayah Sabah dan Sarawak yang mungkin akan mengalami banjir di banyak kawasan

“MetMalaysia telah memberi amaran ribut, hujan lebat dan banjir di kebanyakan kawasan pada hujung tahun ini.

“Dengan perubahan iklim dan cuaca yang ekstrim, bahkan negeri Pantai Barat Semenanjung seperti Selangor dan Kedah berhadapan dengan banjir teruk sebagaimana yang dialami tahun lepas

“Kami memohon PM dan YDPA untuk mempertimbangkan kepentingan dan keutamaan Rakyat berbanding kepentingan kumpulan kecil ahli politik dan mengadakan PRU15 tahun hadapan,” katanya.

Petisyen yang dilancarkan 45 minit yang lalu itu telah mendapat hampir 900 tandatangan.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.