Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan terlibat memadam sebahagian maklumat laporan forensik Laporan Pengauditan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung perolehan kapal tempur pesisir (LCS) yang disediakan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC).

Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menegaskan, pihaknya tidak pernah menerima laporan berkenaan daripada BHIC yang merupakan syarikat pembina kapal tempur pesisir (LCS).

Perkara itu diberitahu Mindef kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam satu prosiding, semalam.

“PAC meminta supaya Mindef mendapat penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC berkenaan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku,” kata Pengerusinya, Wong Kah Woh.

Kah Woh berkata prosiding selama dua jam itu dihadiri oleh Muez serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datin Rashidah Mohd Sies.

Dalam prosiding itu, Kah Woh berkata, PAC telah membangkitkan isu pemadanan sebahagian maklumat dalam laporan itu.

Katanya, BHIC ada menjelaskan bahawa syarikat berkenaan menerima laporan yang sudah dipadamkan daripada Mindef sebelum menyerahkan kepada Sekretariat PAC untuk dimuatnaik dalam laman sesawang PAC.

Sehubungan itu, PAC berpandangan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan memadam sebahagian maklumat di dalamnya.

“PAC juga tidak puas hati dan tidak menerima penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan alasan pemadaman tersebut.

“PAC menegaskan laporan berkenaan dinyahklasifikasi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor di dalam laporan Jawatankuasa ini dan Kabinet seharusnya memberikan arahan sedemikian,” kata Kah Woh lagi. – MalaysiaGazette