Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah membuat pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dan Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) antara PERKESO dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Menara PERKESO, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan hilang upaya khususnya kepada majikan di negara ini.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Datuk Aziz Mohamed berkata, ia akan dilaksanakan menerusi perluasan kerjasama dalam cabang ilmu keselamatan sosial.

“Ia termasuk pengajaran dan pembelajaran berkaitan modul pengurusan hilang upaya, pembangunan modul dan latihan serta pengurusan psikososial.

“Selain itu, ia termasuk intervensi kerja sosial dan kaunseling.” katanya selepas menandatangani MoU itu di Menara PERKESO hari ini.

Perjanjian itu juga turut menggariskan kolaborasi dalam program pasaran buruh aktif, pelaksanaan simposium, persidangan dan kursus pendek, penyelidikan, perundingan dan latihan industri untuk warga UUM.

MoU itu ditandatangi oleh Ketua Eksekutif PERKESO dan Naib Canselor UUM, Prof. Dr Haim Hilman Abdullah.

Ia disaksikan oleh Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Azirruan Arifin serta Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial UUM, Prof. Madya Dr Md Zawawi Abu Bakar.

Terdahulu kedua-dua pihak membuat pertukaran memorandum perjanjian (MoA) bagi memperluas perkhidmatan perlindungan keselamatan sosial yang ditandatangani pada 5 Ogos lalu.

“MoA itu bagi menjalinkan kerjasama dalam aspek pembinaan kapasiti, pembangunan dan penyelidikan serta pemerkasaan promosi keselamatan dan kesihataan pekerjaan.

“Sebanyak RM2.5 juta telah diperuntukkan kepada UUM bagi melaksanakan insiatif itu secara bersama untuk tempoh selama lima tahun” kata Mohamed Azman.

Hasil jalinan kerjasama itu, sebuah Pusat Kecemerlangan Pengurusan Keselamatan Sosial (Social Security Management Centre of Excellence – SOCSOE) dibangunkan buat pertama kalinya.

Institusi itu menawarkan pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (Minor Pengurusan Keselamatan Sosial) dengan kepujian.

“Sesi pengajian program itu dijangka bermula pada November tahun ini” katanya lagi.

Seramai 20 anggota PERKESO akan dipilih bagi memulakan sesi pengajian yang terletak di Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast