Jentera mula melakukan kerja-kerja memasang bendera Pakatan Harapan (PH) pada hari pertama kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Terap, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berasingan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disifatkan boleh memakan diri.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, langkah itu membolehkan Barisan Nasional (BN) menumpukan segala sumber mereka di peringkat pusat untuk berkempen di negeri-negeri tersebut sekiranya mereka memenangi PRU-15.

“Ini adalah alasan yang lemah semata-mata untuk mendapatkan tambahan masa beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya diadakan dan ia mungkin memakan diri PH.

“Kali ini mereka menggunakan banjir sebagai alasan tetapi sejak dua tahun lalu, mereka berulang kali membuat kenyataan yang sama bahawa mereka tidak akan mengadakan PRN sekiranya PRU diadakan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Terdapat kemungkinan tiga negeri yang dikuasai PH tersebut mengadakan pilihan raya negeri (PRN) secara berasingan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hujung tahun ini.

Sebelum itu, negeri-negeri yang dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah turut memutuskan tidak akan membubarkan DUN masing-masing sebelum penggal berakhir.

Sian See menambah, banjir besar kebiasaannya berlaku mula pertengahan Disember dan isu tersebut dapat dielakkan sekiranya PRU-15 diadakan pada penghujung Oktober atau awal November.

“Keputusan PH itu juga akan menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk mengadakan PRN selepas itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast