Empat anggota polis dan penjawat awam antara sembilan individu direman sehingga esok oleh sprm kerana terlibat rasuah bayran saman trafik- Gambar iIhsan SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar satu aktiviti rasuah melibatkan sindiket  pengurangan saman trafik dari beberapa negeri mulai 2016 hingga kini yang melibatkan transaksi lebih RM5 juta.

Susulan daripada itu, SPRM telah membuat tangkapan ke atas 11 individu yang melibatkan empat anggota polis, enam penjawat awam dan seorang orang awam.

Sembilan daripada individu berkenaan telah direman bagi membantu siasatan sementara dua lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula 5 sehingga 7 Oktober lalu oleh Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin selepas meluluskan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, sindiket berkenaan dipercayai mencari individu yang ingin menyelesaikan saman trafik dengan membayar sejumlah wang yang lebih rendah daripada nilai sebenar.

“Selepas menerima wang tersebut, sebahagian jumlah tersebut akan dimasukkan ke hasil kerajaan manakala selebihnya akan dikongsi dengan suspek-suspek yang bertugas di Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kemudian, suspek akan mengeluarkan nama individu yang disaman daripada sistem PDRM.

“Bayaran ini akan dikutip anggota sindiket seterusnya menyerahkan kepada pegawai yang membuat pengurangan kompuan menerusi sistem,” ujar sumber itu.

Difahamkan, sebanyak 60 akaun bank daripada suspek-suspek yang berjumlah keseluruhan kira-kira RM184,000 telah dibekukan oleh SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Jelas beliau lagi pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa lagi saksi terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette