Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin di Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri mencadangkan agar pihak yang sedang meneliti cadangan perindustrian ganja dan ketum supaya mewujudkan satu bentuk mekanisme kawalan yang teratur bagi kedua-dua jenis bahan terlarang itu.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mekanisme kawalan itu penting bagi melindungi rakyat di negara ini daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman tersebut.

Katanya, tindakan Thailand yang mengisytihar untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah narkotik perundangan mereka pada 9 Jun lalu telah membangkitkan cabaran baharu kepada Malaysia dalam mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, pengedaran, penagihan dan penyalahgunaan dadah di dalam negara.

“Kita juga merasa bimbang sebilangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand akan mudah terdedah kepada produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen yang dijual bebas di negara tersebut tanpa sedar,” kata beliau dalam perutusan ucapan perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2022 di sinii pagi ini.

Teks ucapan Hamzah telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman. Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon di majlis tersebut.

Tambah Hamzah lagi, pada tahun 2020, Mesyuarat 63rd Commission on Narcotics Drugs (CND) menangguhkan pengundian ke atas lapan usul di bawah tajuk WHO’s Recommendations On Cannabis and Cannabis Related-Substances ke sesi Reconvened 63rd CND pada 2-4 Disember 2020 bagi meneliti semula usul ini setelah proses konsultasi bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak dijalankan.

Justeru katanya, pada Mesyuarat Reconvened 63rd CND, satu proses pengundian telah dijalankan bagi menimbang semula lapan usul WHO tersebut pada 2 Disember 2020 dan keputusannya, 53 buah negara ahli telah menyokong hanya satu usul WHO iaitu mengeluarkan ganja dan resin ganja dari Jadual IV Konvensyen 1961 dan menolak tujuh usul lain.

Walau apa-apapun keputusan Persidangan CND Ke-63 tersebut, jelasnya, pendirian Malaysia mengenai status kawalan ke atas ganja dan semua bahan-bahan berkaitan ganja dalam negara masih kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ini bermakna, tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta ini.

“Menurut Laporan UNODC pada tahun 2020, lebih daripada 4 peratus populasi iaitu 209 juta orang yang berusia 15 hingga 64 tahun menggunakan ganja di seluruh dunia.

Jumlah yang dilaporkan pada tahun 2020 ini menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun 2010.

“Laporan tersebut juga menyatakan secara globalnya, kira-kira dua pertiga pengguna ganja adalah lelaki, namun begitu jurang penggunaan ganja dalam kalangan jantina bagi negara berpendapatan tinggi pula semakin mengecil.

“Tetapi kesannya amat besar terhadap penjagaan kesihatan, perkhidmatan awam, ketenteraman awam dan keselamatan negara dan bagi mengurangkan risiko kepada rakyat, kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan setiap tahun untuk membendung penyeludupan dan pengedaran dadah, memberi kesedaran dan advokasi kepada masyarakat, dan juga untuk merawat pulih tabiat ketagihan dadah.

“Namun begitu, golongan belia masih merupakan kumpulan terbesar dalam komposisi penduduk Malaysia yang terdedah dan berisiko tinggi untuk terjebak dengan penagihan dadah,” jelasnya lagi.

Tegas Hamzah pada tahun 2021, daripada 123,139 orang penagih dadah dan bahan yang dikesan di Malaysia, 66 peratus atau 81,112 orang adalah dalam kalangan mereka yang berumur 19-39 tahun sekali gus menunjukkan penglibatan golongan ini adalah tinggi dan amat membimbangkan.

Hamzah turut menyatakan kebimbangan dengan dapatan Kajian Prevalens Penyalahgunaan Dadah Dan Bahan Dalam Kalangan Belia di Malaysia pada tahun 2020 sehingga 2021 yang menunjukkan 5.5 peratus atau 616,874 orang dalam kalangan yang berumur 15 ke 40 tahun telah menggunakan dadah dan bahan walaupun hanya sekali sepanjang hidup mereka dan 3.5 peratus atau 394,133 orang telah menggunakan dadah dan bahan dalam tempoh 30 hari yang lepas.

Selain itu,  tahap keparahan bagi kategori penggunaan semasa yang diuji menggunakan Alcohol, Smoking and Substance Involvement Screening Test (ASSIST) menunjukkan 1.0 peratus adalah parah dan memerlukan rawatan dan pemulihan, 2.2 peratus adalah pada tahap sederhana manakala 0.3 peratus adalah berada di tahap ringan.

Justeru,  katanya, kajian terbabit juga merumuskan bahawa faktor risiko yang mempengaruhi belia dalam penyalahgunaan dadah dan bahan adalah terlibat dalam perilaku antisosial dan jenayah, pengaruh negatif, sumber dadah yang mudah, kesihatan mental dan pengetahuan umum mengenai dadah.

“Malah, golongan remaja dan belia merupakan satu lagi golongan yang perlu kita lindungi daripada ancaman dadah kerana mereka adalah tenaga pelapis untuk membangunkan dan memakmurkan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette