Tiga lagi individu yang disyaki terlibat dalam insiden menculik ahli perniagaan dalam vellfire putih di ampang 29 September lalu berjaya diberkas semalam dan direman polis pagi tadi di Ampang.

AMPANG – Polis memberkas tiga lagi suspek yang terlibat dalam penculikan seorang ahli perniagaan yang berlaku di sebuah restoran di Pandan Indah pada 29 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketiga-tiga suspek itu dicekup di perkarangan IPD.

“Mereka yang ditahan adalah tiga lagi suspek baharu yang berusia 22, 53 dan 55 tahun dan tidak bekerja, disyaki terlibat dalam kejadian culik itu bersama tiga lagi suspek yang berjaya ditahan sebelum ini pada Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan tengahari tadi.

Tambah beliau, polis turut merampas beberapa pakaian, telefon bimbit dan sebuah kenderaan Toyota Camry yang disyaki digunakan suspek semasa kejadian culik itu.

“Semakan mendapati suspek yang berumur 55 tahun mempunyai 14 rekod lampau dalam kesalahan dadah dan jenayah lain, sementara suspek berumur 26 tahun mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah.

“Manakala suspek 53 tahun pula tiada kesalahan rekod jenayah lampau dan semua tangkapan didapati negatif dadah,” katanya.

Ketiga-tiga mereka direman selama tiga hari sehingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

Ahad lalu, tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes yang sama.

Kereta Toyota Vellfire putih yang dipercayai digunakan suspek untuk jenayah tersebut juga dirampas.

Ketiga-tiga suspek ini telah didakwa di bawah seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang di Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi.

Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai penjual sayur serta pekerja kilang bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan itu.

Mereka dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM4,000 seorang dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 14 Disember 2022.- MalaysiaGazette