Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bercakap mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan bertindak sekiranya Filipina secara rasmi memberikan reaksi terhadap tuntutan daripada waris Sulu kepada Kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan tuntutan itu lebih bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan kedaulatan negara.

Bagaimanapun jelas Wan Junaidi, kerajaan sentiasa memerhati reaksi ahli politik dan Kerajaan Filipina dalam soal ini sebelum mengambil apa-apa tindakan diplomatik.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa tuntutan ini tak ada kena-mengena dengan soal keadilan negara, tuntutan daripada waris Sultan Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia daripada apa dikatakan sewaan jajahan Sabah itu dahulu, ia tiada kaitan dengan kedaulatan negara,” katanya menjawab sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Junaidi menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-PH) yang ingin tahu  reaksi kerajaan berkenaan isu tuntutan berkenaan yang menurutnya kini beralih menjadi isu kedaulatan negara, selepas beberapa senator Filipina dilapor mahu memperbaharui tuntutan ke atas Sabah sebagai sebahagian Filipina.

Dalam perkembangan sama, Wan Junaidi berkata, setiap tindakan oleh pihak kerajaan termasuk melalui pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang tidak semua boleh didedahkan.

“Terbaharu kerajaan akan melawan tuntutan dibuat waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset syarikat gergasi petroleum milik negara, Petronas yang ada di negara Belanda bagi menguatkuasakan satu perintah oleh Mahkamah Arbitrasi di Perancis yang menganugerahkan pampasan sejumlah AS$15 bilion kepada mereka.

“Setakat ini Wisma Putra dapat maklum ada perkara-perkara dibangkit senator dan ahli politik di sana, ketika itu nanti apabila Kerajaan Filipina mengulas kepada kehendak ahli politik ini barulah Wisma Putra akan mengambil tindakan,”

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, sehingga kini kerajaan menganggap tuntutan yang dibuat senator terbabit tidak lebih daripada “menangguk di air keruh” kerana mahu  mengambil kesempatan bagi kepentingan politik sahaja.

“Kita pantau apa yang berlaku isu membabitkan (tuntutan ke atas) Sabah dan reaksi dari pihak politik (Filipina berkaitan tuntutan Sulu) yang hanya tindakan yang menangguk di air keruh di Filipina sekarang.

Ini kerana tuntutan ini tak pernah digugurkan oleh pihak Filipina. Sebenarnya dulu ada cadangan untuk digugurkan tapi tak jadi gugur sebab ia isu politik,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort-PN) yang mahu tahu sama,ada kerajaan bersikap proaktif dalam isu berkenaan, Wan Junaidi memberi komitmen kerajaan melalui jawatankuasa yang ditubuhkan telah memainkan peranan proaktif.

“Saya beri jaminan setiap perkara yang berlaku akan dilihat. Tetapi dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh memberi penjelasan setiap strategi kerana tindakan kita berlandaskan jangan diketahui pihak lawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette