Chong Chern (tengah) menunjukkan barang yang dirampas semula membabitkan kes pecah masuk kilang pada sidang media di IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Empat individu termasuk dua pengawal keselamatan diberkas selepas dipercayai terlibat kes pecah masuk sebuah kilang tinggal di Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Suspek berusia lingkungan 34 hingga 48 tahun itu ditahan menerusi Op Pintu di Simpang Ampat dan Kulim, Kedah pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada penjaga kilang pembuatan skru tersebut pada 23 September lalu.

Chong Chern (kiri).

“Penjaga kilang itu hanya menyedari kejadian itu kira-kira seminggu kemudian susulan dia hanya pergi sekali sekala dan kali terakhir pergi ke kilang pada Februari lalu.

“Ini kerana kilang tersebut telah tidak beroperasi sejak kira-kira dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Tambah Chong Chern, siasatan lanjut mendapati dua daripada pengawal keselamatan tersebut bekerja di sebuah kilang yang terletak di hadapan premis mangsa.

“Pengawal keselamatan itu dikatakan meninjau kilang tersebut lebih awal sebelum keempat-mereka memecah masuk dengan memecahkan tombol pintu pejabat.

“Suspek melarikan pelbagai barangan pejabat yang ditinggalkan pihak pengurusan seperti peralatan komputer, pencetak dan wayar bernilai RM194,000,” katanya lagi.

“Dengan tangkapan itu, kita menemui semula 24 barangan yang dicuri bernilai kira-kira RM20,000 selain sedang mengesan barangan lain yang telah dijual,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.  – MalaysiaGazette