Ibu Pejabat PNB di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited untuk membuat pelaburan sehingga RM50 bilion bagi tahun 2023, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, GLC dan GLIC akan terus memainkan peranan sebagai nadi penggerak ekonomi negara, antaranya, melabur dalam modal teroka bagi menyokong syarikat pemula dan usahawan sehingga RM1.3 bilion.

“Kedua, GLC dan GLIC akan menumpukan kepada projek-projek sekuriti makanan sebanyak RM1.35 bilion dan ketiga, mendorong agensi kelestarian dengan pelancaran rangka kerja kemampanan serta menetapkan sasaran untuk mencapai portfolio patuh alam sekitar, sosial dan tadbir urus sepenuhnya dan operasi karbon-neutral,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, keempat, kedua-dua pihak akan membuat perolehan hijau sehingga RM330 juta di samping menyediakan infrastruktur kenderaan elektrik.

“Kelima, GLC dan GLIC juga akan membuat pelaburan langsung domestik sehingga RM45 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, pelaburan langsung domestik daripada GLC sememangnya penting dalam pemulihan ekonomi.

Tengku Zafrul berkata, bagi kerjasama awam swasta, Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2023-2032 akan dilancarkan bagi memperkenalkan model Perkongsian Awam Swasta (PPP) baharu yang mampu memacu projek infrastruktur berdasarkan ‘user pay’ seperti lebuh raya dan bayaran bukan wang seperti ‘landswap.’

“Sehubungan itu, Dana Mudah Cara Infrastruktur sebanyak RM250 juta disediakan untuk menyokong pelaksanaan projek PPP berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, sosial dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan telah melancarkan garis panduan Prinsip Tadbir Urus Baik untuk diterima pakai oleh semua GLIC dan akan diperluas kepada semua GLC.

“Selanjutnya, satu piawaian pelaburan bakal dilancarkan bagi memastikan agenda kemampanan dipertimbangkan dalam proses pelaburan GLIC,” katanya. – BERNAMA