Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) memberikan bayangan Parlimen mungkin akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Ini kerana beliau berseloroh yang sarapan yang diambilnya pagi tadi mungkin adalah sarapan terakhir beliau di pejabat KASA.

“Saya dijemput oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) KASA untuk sarapan pagi bersama. Sarapan terakhir bersama agaknya,” katanya di Twitternya hari ini.

Timbalan Presiden Pas itu memuatnaik status berkenaan sebelum beliau menghadiri sesi pembentangan Bajet 2023 petang ini.

Malah dalam satu video, Tuan Ibrahim turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada kakitangan KASA terutamanya Unit Komunikasi Korporat (UKK) kementerian itu.

“UKK banyak membantu saya dalam memastikan kelancaran program, perantara dengan pihak media dan membuat liputan program kementerian.

“Kita buat kerja sungguh-sungguh. Allah tentukan. Ada rezeki kita makan-makan lagi,” katanya lagi.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong namun Istana Negara tidak memaklumkan Ismail Sabri mengadakan pertemuan itu bagi memohon pembubaran Parlimen. – MalaysiaGazette