Alimuddin Md Dom

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) berperanan menyelaras pendidikan Islam di seluruh negara selain daripada skop Kementerian Pendidikan.

Jawatankuasa itu yang sebelum ini dikenali Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) diwujudkan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berdasarkan Peraturan-Peraturan MKI 2022.

Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kewujudan JPPIK sebagai salah satu jawatankuasa di bawah MKI adalah manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus institusi pendidikan Islam di negara ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur.

Ini kerana, katanya, ia memberi kesan kepada pembangunan sumber manusia terlatih pada masa akan datang.

Jelas beliau, persidangan JPPIK Kali Ke-57 Rabu lalu telah menetapkan hala tujunya sebagai kesungguhan memikul amanah dan tanggungjawab bagi memastikan sistem pendidikan Islam yang seragam, tersusun dan berwibawa serta berupaya memberikan pendidikan terbaik serta berkualiti dapat direalisasikan.

“Beberapa strategi pelaksanaan telah digariskan antaranya penyediaan SOP berkaitan tadbir urus pendidikan Islam yang komprehensif.

“Ia juga memastikan semua pihak menggunakannya, penyeragaman undang-undang dan kaedah yang seragam serta pengemaskinian semua perkara yang berkaitan pendidikan Islam.

“Ini melibatkan pedagogi pengajaran dan pembelajaran (PdP), pengurusan sekolah, penaziran, buku teks dan peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Alimuddin, persidangan JPPIK yang diadakan setiap tahun juga sebagai medium untuk memperkasakan tadbir urus institusi pendidikan Islam di Malaysia.

Katanya, ia merangkumi institusi dikendalikan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta institusi diuruskan sendiri oleh swasta atau persendirian supaya pendidikan Islam disediakan mempunyai kualiti dan seiring dengan pendidikan arus perdana.

Persidangan itu, katanya, melibatkan ahli yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan wakil dari setiap negeri yang dilantik oleh raja pemerintah negeri itu.

Persidangan itu akan dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Yayasan Islam Negeri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan Islam.

Manakala keputusannya akan dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia.

Beliau berharap, pendidikan Islam di luar skop Kementerian Pendidikan akan sentiasa kemas dan tersusun sejajar dengan sambutan dan permintaan menggalakkan pada masa kini.

Katanya, matlamat penyelarasan di bawah Peraturan-Peraturan MKI 2022 yang diperkenankan DYMM Raja-Raja pada 10 Mac lalu juga mesti dizahirkan secara tuntas.

“Pendidikan Islam di bawah kuasa negeri perlu menjadi pelantar penyedia kelahiran sumber manusia dan modal insan cemerlang dalam usaha membangunkan negara dan setanding dengan sistem pendidikan di bawah KPM,” katanya. – MalaysiaGazette