Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan menunjukkan sepucuk pistol yang telah dirampas pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam rampasan sepucuk pistol dan peluru yang meibatkan kes ugutan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

SERDANG – Seorang penganggur yang mengancam untuk membunuh seorang pemilik kedai kereta terpakai kerana enggan membayar wang perlindungan akhirnya tumpas di tangan polis.

Suspek seorang warga tempatan berusia 42 tahun itu yang disyaki aktif dalam kes ugutan menggunakan pistol dan mengutip wang perlindungan menyasarkan pemilik kedai dan restoran yang menggaji pekerja warga asing sejak lebih setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pada 23 September lalu, pihaknya mendapati mangsa telah menerima pesanan aplikasi WhatsApp yang tidak berpuas hati dengannya dan mengancam akan menembaknya.

Katanya, ugutan terhadap mangsa juga telah disampaikan kepada beberapa orang rakan mangsa dengan menunjukkan satu objek yang menyerupai pistol bewarna perak dan pemegang berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan menunjukkan sepucuk pistol yang telah dirampas pada sidang media mengenai kejayaan anggota polis dalam rampasan sepucuk pistol dan peluru yang meibatkan kes ugutan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

“Berikutan ugutan tembak itu, mangsa merasakan diri dan keluarganya terancam dan membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran pada 6 Oktober lalu.

“Bertindak atas laporan pengadu berserta maklumat dan risikan kami, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah berjaya menangkap ke atas seorang suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam ugutan bunuh itu pada hari yang sama,” katanya dalam sidang media kejayaan hari ini.

Tambah Anbalagan, suspek seorang penganggur berusia 42 tahun itu ditahan di rumahnya di Serdang.

Hasil soal siasat ke atas suspek kemudian berjaya membawa  kepada rampasan sepucuk pistol tertera tulisan Sarsilmaz buatan Turki Stainless Steel berwarna perak beserta kelopak pistol berwarna hitam berisi lapan butir peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah di Kajang pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati modus operandi suspek yang dikenali Robert Solo kerana bergerak secara solo dengan membuat ugutan dan pemerasan kutip wang perlindungan bulanan daripada mangsa yang menjalankan perniagaan.

“Sebagai contoh, pemilik restoran dan kedai-kedai yang menggajikan pekerja warga asing dan dalam kes ini pengadu adalah pemilik kedai kenderaan terpakai di kawasan Seri Kembangan.

“Siasatan lanjut juga dalam kes ini mendapati suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dipercayai tidak bersedia untuk membayar wang perlindungan secara bulanan seperti dikehendaki oleh suspek itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A.Anbalagan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 OKTOBER 2022.

“Suspek dipercayai memperoleh pistol berkenaan dari negara jiran di utara Semenanjung dan suspek kini berjaya direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut Anbalagan, suspek telah dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis methaphetamine.

Katanya, suspek juga memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan narkotik serta satu rekod dikehendaki dalam kes jenayah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaa kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagi kesalahan memiliki senjata api suspek juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971 yang boleh membawa hukuman maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.

“Kita akan sambung reman terhadap suspek dalam siasatan membabitkan ugutan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan jika siasatan belum selesai dan akan diserahkan kepada Kajang,” tegasnya. – MalaysiaGazette