KUALA LUMPUR – Pengecualian bayaran duti setem bagi urusan surat cara pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman bagi rumah bernilai lebih RM500,000 hingga RM1 juta akan dinaikkan daripada 50 peratus kepada 75 peratus sehingga 31 Dis 2023.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata, bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, sebelum ini duti setem bagi rumah bernilai RM500,000 ke bawah telah dikecualikan sepenuhnya hingga akhir tahun 2025.

“Sebagai contoh pengecualian 100 peratus atas pembelian rumah bernilai RM300,000 bakal menjimatkan RM6,500 sementara pengecualian 75 peratus atas pembelian rumah RM750,000 bakal menjimatkan wang rakyat sebanyak RM15,000,” katanya.

Pada masa sama, pengecualian duti setem sepenuhnya diberikan ke atas surat pindah milik harta tanah antara suami isteri tetapi hanya 50 peratus antara ibu dan bapa dan anak.

“Memandangkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak tidak mungkin lah separuh, kerajaan bercadang mulai 2023, semua pindah milik harta tanah atas dasar kasih sayang antara keluarga seperti daripada suami kepada isteri, bapa kepada anak atau datuk kepada cucu hanya dikenakan duti setem sebanyak RM10,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengumumkan kenaikan peruntukan bagi bina baharu dan baik pulih rumah di luar bandar daripada RM361 juta kepada RM460 juta.

“Di samping itu, kadar siling bantuan bina baharu rumah turut dinaikkan contohnya daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit di Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, 3,000 rumah baharu akan dibina dengan lebih separuh daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Bagi kawasan bandar pula, Tengku Zafrul berkata, peruntukan RM367 juta disediakan bagi Program Perumahan Rakyat termasuk projek baharu di Marang, Terengganu dan Arau, Perlis untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu.

“Program Perumahan Mesra Rakyat pula melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan itu berkata, bagi membantu sehingga 12,000 peminjam tanpa pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing pada 2023, kemudahan jaminan kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan akan ditingkatkan sebanyak RM3 bilion.

Bagi membina persekitaran komuniti yang harmoni, Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk memastikan kondisi rumah strata kos rendah dan sederhana selamat dengan menyelenggara termasuk menggantikan lif-lif usang dengan peruntukan RM290 juta.

“Meningkatkan khidmat kesihatan bergerak antaranya di kawasan kos rendah dengan peruntukan RM22 juta; menyediakan kelas pemulihan untuk anak-anak penghuni rumah kos rendah yang trcicir pembelajaran semasa pandemik COVID-19 serta mempergiat aktiviti peningkatan pendapatan oleh Yayasan Hasanah antaranya membantu pengusaha makanan memanfaatkan platform Cloud Kitchen,” katanya. – BERNAMA