Rahim Razali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri peralatan bot, bulan lalu.

MELAKA – Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri peralatan bot pada bulan lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Rahim Razali, 41, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan pecah rumah bagi mencuri enjin bot jenama Evin Rude, tong isian minyak bot warna jingga dan kompresor pam air milik Othman Omar, 73.

Kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksan itu dilakukan pada kira-kira pukul 2 petang 15 September lalu di Lot No 1030, Jalan Paya Rumput, Paya Rumput.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda atau sebat.

Mengikut fakta kes, pengadu dikatakan dihubungi anak saudaranya memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan sebaik tiba terkejut melihat terdapat kesan umpil pada tingkap bahagian belakang rumah.

Pengadu kemudian mendapati peralatan seperti enjin bot, tong isian minyak bot serta kompresor pam air turut hilang sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, peguam tertuduh, Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan pengakuan bersalah telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Tertuduh juga, katanya, hanyalah peniaga kecil-kecilan dan telah kesal dengan tindakan itu serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari, bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana tertuduh mempunyai dua rekod lampau jenayah menerima dan menyimpan barang curi pada 2017 dan 2006.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan hukuman penjara 18 bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 2 Oktober lalu. – MalaysiaGazette.