Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melambai tangan kearah pengamal media semasa hadir pada Mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, di ibu negara, jam 4 petang ini.

Perkara itu disahkan sendiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil menunjukkan isyarat bagus dan melakar senyuman lebar kepada petugas media selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, pada pagi ini.

“(Bajet 2023) petang ini…,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusi mesyuarat Jemaah Menteri hampir tiga jam di bangunan Perdana Putra, di sini, jam 10 pagi tadi.

Selain itu, Khairy Jamaluddin secara berseloroh mahu bergegas pulang kerana mahu makan juadah bubur sebelum Solat Jumaat, hari ini.

“Saya nak cari bubur…saya makan bubur,” katanya lagi.

Mesyuarat Kabinet itu tertangguh sejak Rabu lalu akan digantikan pada hari ini selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan mengenai Bajet 2023 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, jam 4 petang nanti.

MalaysiaGazette juga tidak menolak kemungkinan Perdana Menteri akan meminta penjelasan daripada 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada YDPA bagi membantah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang menaiki kenderaan Vellfire berwarna putih dengan diiringi kereta polis dan motosikal berkuasa besar tiba di bangunan Putra Perdana, kira-kira jam 9.32 pagi ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan Bajet 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Menurut beliau, tarikh itu tiga minggu lebih awal berbanding tarikh asal pembentangan Bajet 28 Oktober.

Beliau berkata, tarikh baharu pembentangan Bajet 2023 itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette