Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 OGOS 2022.

PONTIAN – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan pendirian tidak bersetuju pilihan raya umum (PRU) diadakan tahun ini sebagai tidak wajar.

Beliau berkata, apa yang sepatutnya menteri-menteri PN yang tidak berpuas hati perlu membawanya ke mesyuarat Kabinet.

“Ia di lihat sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dalam pentadbiran sekarang bila ada 12 menteri yang tulis surat sedemikian rupa.

“Sebaliknya selaku ahli Kabinet mereka boleh menyelesaikan dalam mesyuarat Kabinet.

“Apa yang berlaku melambangkan ketidakpercayaan. Apa yang dibuat Perdana Menteri dan sebenarnya kuasa Perdana Menteri itu beliau telah memikirkan dan mempersembahkan kepada Yang DiPertuan Agong dan itu adalah hak Agong untuk menerima nasihat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Dewan UMNO Pontian di sini hari ini.

Semalam media melapirkan seramai 12 ahli Kabinet kedua-dua dari Bersatu dan Pas menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan pendirian mereka tidak bersetuju untuk fiadakan PRU-15 dalam waktu terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan telah mengesahkan surat itu yang ditandatangani oleh semua menteri Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu PRU-15 diadakan tahun ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata surat bertarikh 3 Oktober lalu sudah pun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kelmarin dan mereka menyatakan pendirian untuk tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini kerana Jabatan Meteorologi meramalkan berlaku musim hujan lebat dan kputusan itu juga bagi membenarkan ekonomi negara pulih sepenuhnya untuk memudahkan urusan rakyat. – MalaysiaGazette