Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya Armada, Srikandi dan Srikandi Muda Gombak di Shinga Convention Hall, Gombak, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersyukur kerana Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen semalam, melambangkan pengiktirafan kepada usaha yang sedang dilakukan kementerian itu.

“Usaha itu ialah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkasa golongan muda melalui model pembangunan sukan yang sedang dibangunkan.

“Begitu juga kita memperkasa sukan berprestasi tinggi dan menggalakkan sukan sebagai satu budaya ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan.

“Saya percaya usaha yang kita lakukan ini iaitu menggalakkan sukan paling bawah akan membantu menjana ekonomi kepada kerajaan juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Armada, Srikandi dan Srikandi Muda Bersatu Bahagian Gombak di sini, petang ini.

Turut hadir, Ketua Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Gombak, Muhammad Hilman Idham; Ketua Srikandi Bersatu Gombak, Datin Sharifah Salmah Syed Agil; dan Ketua Srikandi Muda Malaysia, Nurul Fadzilah Kamaluddin.

Menurut Ahmad Faizal, KBS juga turut memperkasakan industri sukan yang boleh mendatangkan kekuatan ekonomi kepada pemain industri dan negara. – MalaysiaGazette