Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyambut baik pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan, bajet itu jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam di negara ini.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan kerajaan yang telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.5 bilion khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negara ini.

“Peruntukan ini adalah untuk pengurusan dan pelaksanaan program keseluruhan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri seperti Jakim, Jawhar, Jawi, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan lain- lain.

“Sebahagian besar peruntukan ini adalah bagi tujuan pendidikan Islam di seluruh negara iaitu pembiayaan elaun kepada 35,000 guru KAFA, 5,000 guru takmir serta imbuhan kepada 14,373 imam di masjid kariah di negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Hakimah turut berterima kasih kepada kerajaan yang memperuntukan RM150 juta untuk penyelenggaraan fasiliti institusi pendidikan di bawah penyelarasan Jakim seperti sekolah agama rakyat, pusat tahfiz, pondok dan premis KAFA.

Katanya, bagi golongan agamawan, kira-kira 72,000 orang melibatkan guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, Jakim turut menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan khas sebanyak RM500 secara – yang melibatkan peruntukan RM36 juta.

“Semoga peruntukan ini mampu memperkasakan lagi umat Islam di negara ini serta memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette