KUALA LUMPUR – Jutawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang menyebarkan fitnah dan melakukan ugutan.
Individu itu yang kini berdepan dengan saman RM15 juta daripada Pengarah Urusan Azlan Al Amin Group Holdings Sdn Bhd itu didakwa mengugut pengurus syarikat selepas laporan polis dibuat terhadapnya pada Khamis lalu.
Mohamad Azlan berkata, beliau kecewa dengan tindak tanduk individu berkenaan yang bukan sahaja mengaibkannya tetapi turut mengugut mengenai perniagaan hartanahnya.
“Individu ini tidak mempunyai sebarang urusan dengan saya. Tetapi dia begitu agresif membuat pelbagai tohmahan, fitnah malah sehingga ke tahap mengugut bukan saya tetapi pegawai kanan saya.
“Saya telah dinasihatkan untuk segera membuat laporan polis kedua terhadapnya. Pengurus saya juga hadir dan membuat laporan polis. Kita harap pihak polis akan segera mengambil tindakan susulan kerana perbuatan seperti ini bukan sahaja tidak berfaedah, membuang masa dan duit sebaliknya sesuatu yang jelik sekali
“Saya juga telah arahkan pasukan peguam saya untuk ambil tindakan selanjutnya dengan segera, kita ada semua bukti terhadap perbuatan individu ini yang juga cuba menghasut para pembeli tanah saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jertih, Terengganu bersama pengurus dan barisan peguam.
Beliau turut mendapat sokongan daripada lebih 200 penduduk setempat khasnya dari kalangan pembeli yang hadir memberikan sokongan kepadanya hari ini.
Kata beliau, kehadiran masyarakat untuk menyokongnya adalah bukti kata-kata yang dilemparkan ke atasnya adalah fitnah.
Mohamad Azlan berkata, beliau menjalankan bisnes hartanah dengan ikhlas dan telus, namun terdapat kekurangan yang boleh dibawa berbincang untuk diselesaikan. – MalaysiaGazette