PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan polis semalam kerana disyaki membunuh kekasihnya di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan seorang perempuan warga tempatan tidak sedarkan diri dalam bilik di sebuah hotel bajet pada Khamis lalu.

“Pasukan polis yang bergegas ke lokasi sebelum siasatan di tempat kejadian mendapati perempuan warga tempatan tersebut berusia 36 tahun dijumpai dalam keadaan terbaring di lantai dan telah meninggal dunia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lilitan di leher perempuan warga tempatan tersebut akibat dijerut dengan menggunakan tali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat dan risikan polis, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menangkap seorang lelaki bukan warganegara disyaki melakukan jenayah tersebut semalam.

“Suspek adalah warga asing berusia 27 tahun telah berjaya ditahan polis di kawasan Sentul bagi membantu siasatan dalam kes ini.

“Semakan lanjut suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis berjaya merampas salinan pasport perjalanan milik suspek yang mendapati telah tamat tempohnya,” ujarnya.

Menurut Noor Dellhan, suspek kini direman selama tujuh hari sehinggga 14 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Jelasnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Polis masih sedang menyiasat motif dan punca kejadian pembunuhan itu,” katanya. – MalaysiaGazette