KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan memboikot Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya UMNO terus mendesak ia diadakan pada tahun ini meskipun dalam musim tengkujuh.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya akan berkempen agar pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan menghukum UMNO .
“Kalau mereka nak mengheret jutaan rakyat ke medan pilihan raya, kita perlu lawan.
“Takkan kita nak biarkan UMNO menang dengan begitu sahaja dengan boikot (PRU15).
“Kita nak menggalakkan rakyat keluar untuk menghukum dan mengajar pemimpin bobrok, gila kuasa ini yang sanggup mengheret jutaan rakyat redah banjir keluar mengundi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Sidang Muda 2022 di Connexion Conference & Event Centre, di Bangsar South, di sini.
Tambahnya, Muda juga akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditewaskan dengan kuasa rakyat, sebagaimana yang berlaku dalam PRU14 pada 9 Mei 2018.
“Kta faham kalau UMNO masih nak mengheret jutaan rakyat ke medan pilihan raya demi ketamakan kuasa mereka, kita akan lawan mereka.
“Kita akan pastikan rakyat menghukum ketamakan dan ego UMNO ini dengan kuasa rakyat, kita akan berdepan nanti,” katanya.
Syed Saddiq berkata, meskipun terpaksa akur kepada desakan untuk mengadakan PRU15, Muda masih memberi fokus membantu rakyat yang terkesan jika berlaku banjir.
“Muda telah buat pendirian bahawa kita nak fokus nyawa dahulu baru PRU15.
“Kita sudah membuat persediaan menempuh banjir besar bermula dengan memuktamadkan audit dan akan dikeluarkan minggu depan.
Kita nak tunjukkan Muda mempunyai akauntabiliti dan ketelusan dalam kutipan dana yang dibuat,” katanya.
Katanya, parti itu dalam proses membuat latihan bagi pimpinannya di peringkat Parlimen untuk persediaan banjir.
“Kita akan lancarkan skuad banjir kita dalam tempoh terdekat.
“Kita fokus kepada isu ini kerana soal PRU15 ini soal kuasa, tapi banjir besar ini soal hidup dan mati, nyawa,” katanya. – MalaysiaGazette