Al-Sultan Abdullah genap empat tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan berangkat ke London, United Kingdom (UK) bagi mengadakan lawatan khas bermula esok hingga 16 Oktober depan.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah itu bagi melakukan kunjungan hormat ke atas Baginda Raja Britain, Baginda Raja Charles III di Istana Buckingham Rabu ini yang turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka dengan Raja Charles III.

“Seri Paduka Baginda menjalin persahabatan dengan baginda Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersukan polo berkuda bersama-sama ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat di antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan Malaysia 65 tahun lalu,” kata hantaran itu.

Istana Negara turut memaklumkan pada Rabu ini juga Seri Paduka Baginda berdua turut dijadualkan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea iaitu projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

Berkeluasan 16.99 hektar, Stesen Janakuasa Battersea adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Berhad sejak tahun 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM51.53 bilion.

“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan mengakhiri lawatan khas ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober ini.

“Dari segi hubungan dua hala, UK merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia pada tahun 2021 dengan jumlah dagangan direkodkan di antara kedua negara sebanyak RM17.17 bilion, peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun 2020.

“Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu juga telah direkodkan sebanyak RM9.78 bilion, manakala nilai import dari United Kingdom sebanyak RM7.39 bilion,” kata Istana Negara. – MalaysiaGazette