PENDEDAHAN bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung pembabitannya dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan termasuk Ketua Hakim Negara ketika era Pakatan Harapan (PH) berkuasa memang mengejutkan kita semua.
Seperti yang termaktub dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, dua kuasa utama yang diberi kepada Peguam Negara adalah kuasa pendakwaan dan penjaga kepentingan awam.
Tidak langsung disebut Peguam Negara mempunyai peranan dalam pelantikan hakim-hakim kanan maka pendedahan Tommy dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness telah membangkitkan banyak persoalan.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam artikelnya yang terkini mendakwa, Tommy telah bertindak di luar bidang kuasanya kerana Peguam Negara tidak mempunyai peranan dalam pelantikan hakim-hakim.
Peranan memilih calon-calon hakim termasuk empat jawatan tertinggi iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang tidak dianggotai oleh Peguam Negara.
Akta SPK 2009 (Akta 695) pula menetapkan suruhanjaya itu akan mengadakan mesyuarat selepas menerima permohonan daripada calon-calon itu sendiri.
Namun, Abdul Hamid mempersoalkan sama ada empat hakim yang dicalonkan untuk jawatan-jawatan kanan tersebut telah mengemukakan permohonan.
“Adakah mesyuarat diadakan? Siapakah yang mempengerusikan mesyuarat itu?” soalnya lagi.
Beliau berpandangan, selepas persaraan Tun Richard Malanjum dari jawatan Ketua Hakim Negara, tokoh-tokoh seperti Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan termasuk Tun Tengku Maimun Tuan Mat mempunyai kepentingan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan buku Tommy, Abdul Hamid melihat bekas Peguam Negara itu yang memilih nama calon-calon empat jawatan tertinggi dalam sistem kehakiman negara dan membawanya kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mereka kemudian berbincang dan setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri, nama-nama itu dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja yang seterusnya memberi perkenan dan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pelantikan.
Sambil menyifatkan Tommy sebagai kingmaker dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan, Abdul Hamid percaya semua prosedur yang ditetapkan oleh Akta 695 telah diketepikan atau dilanggar oleh bekas Peguam Negara itu.
Pada masa yang sama, Akta 695 tidak menetapkan bentuk tindakan yang boleh diambil atau hukuman yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang membelakangkan SPK atau campur tangan dalam urusan pelantikan hakim-hakim.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 30 September lalu telah mengarahkan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan agar menyiasat kemungkinan salah laku oleh Tommy.
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dakwaan dalam buku Tommy telah mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.
Siasatan terhadap Tommy dijalankan di bawah Seksyen 124I Kanun Keseksaan – Penyebaran Laporan Palsu & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Kita tidak perlu mengulas lanjut tentang kemungkinan salah laku oleh Tommy termasuk dakwaannya dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan kerana siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Kita juga tidak tahu sama ada Dr. Mahathir akan disiasat berhubung penglibatannya dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan seperti yang didakwa oleh Tommy dalam bukunya.
Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan perkara itu kerana beliau merupakan individu yang berbincang dengan Tommy dan bertanggungjawab mempersembahkan nama calon-calon hakim kepada Majlis Raja-raja.
Selain dakwaan salah laku terhadap Tommy, apa yang membimbangkan, terdapat kemungkinan berlaku campur tangan yang serius oleh pentadbiran Dr. Mahathir dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan.
“Apa yang dilakukan oleh satu pentadbiran akan diulangi oleh satu pentadbiran lain apabila berlaku perubahan kerajaan kerana masing-masing mahu orangnya sendiri.
“Sekarang pun sudah ada pemimpin-pemimpin UMNO yang bercakap mengenainya. Maka, akan berterusanlah campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman,” jelas Abdul Hamid.
Penganalisis politik, Lim Sian See pula berpandangan, Dr. Mahathir dan Tommy mesti didakwa kerana telah melanggar undang-undang dalam urusan pelantikan hakim-hakim kanan.
Seperti yang dijelaskan beliau, Dr. Mahathir didakwa melakukan kesalahan itu pada 2018 dan 2019.
Pada 2018, SPK mencadangkan nama Tan Sri Azahar Mohamed sebagai Ketua Hakim Negara namun Dr. Mahathir mengemukakan nama Tun Richard Malanjum.
Setahun kemudian, suruhanjaya berkenaan mengesyorkan nama Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Ketua Hakim Negara bagi menggantikan Richard.
Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir mengemukakan nama Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang dicadangkan oleh Tommy.
“Baru sahaja lima tahun memegang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun melangkaui Azahar (lima tahun sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Ahmad (lapan tahun sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan) untuk menjadi Ketua Hakim Negara,” katanya.
Sian See menambah, pada 13 Jun 2018, selain Azahar, SPK mencadangkan dua lagi nama iaitu Tan Sri Rohana Yusuf sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Abdul Rahman Sebli sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Namun, pada 18 Jun 2018, Dr. Mahathir menulis bahawa, beliau telah memutuskan Richard sebagai Ketua Hakim Negara, Ahmad sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim sebagai Hakim Besar Malaya dan Tan Sri David Wong Dak Wah sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
“Dalam masa seminggu selepas hakim-hakim kanan pilihan Dr. Mahathir dilantik, hakim bagi perbicaraan kes SRC International digantikan dengan Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang tidak mempunyai pengalaman mengadili kes jenayah,” kata Sian See.
Selain itu, Sian See mendakwa, Dr. Mahathir menerusi surat bertarikh 18 Mac 2019 telah bersetuju dengan syor SPK yang mencadangkan Ahmad sebagai Ketua Hakim Negara, David Wong sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, Tengku Maimun sebagai Hakim Besar Malaya dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, Ketua Setiausaha Sulit Dr. Mahathir dalam surat bertarik 21 Mac 2019 meminta nama-nama tersebut ditarik balik dan dibatalkan.
Pada 8 April 2019, Dr. Mahathir menyatakan beliau memutuskan bersetuju dengan cadangan pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, Rohana sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Abang Iskandar sebagai Hakim Besar Malaya. – MalaysiaGazette
Bukan sekadar disiasat. Sumbat dia ke penjara kajang jika didapati terlibat salah guna kuasa dan politik wang