Sim Tze Tzin.

BAYAN BARU – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendakwa harga petrol, ayam serta telur dijangka naik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Jelas beliau, ia susulan kerajaan mengurangkan pemberian subsidi dan bantuan sosial sebanyak 28.7 peratus menerusi Bajet 2023 berbanding Bajet 2022.

“Jadi kita jangkakan tiga barang yang dikatakan menjadi keperluan buat rakyat negara ini iaitu petrol, telur serta ayam akan mengalami kenaikan harga.

“Selain barangan itu, kita tidak menolak kemungkinan barangan bersubsidi lain juga turut akan mengalami kenaikan harga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Tze Tzin, secara umumnya, semua orang akan bergembira dengan pengumuman Bajet 2023 tetapi jika diteliti ada agenda tersembunyi di sebalik pemberian tersebut.

“Memang betul kerajaan bagi macam-macam termasuk pengurangan cukai sebanyak dua peratus tetapi jika dilihat semula rakyat akan tanggung pemberian tersebut.

“Ia ibarat bagi pengurangan terhadap sesuatu tapi rakyat kena bayar lebih untuk benda lain,” kata beliau.

Bajet 2023 memperuntukkan RM55 billion untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mengumumkan peruntukkan RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan dan edaran barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel untuk penduduk luar bandar. – MalaysiaGazette