Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan itu telah disediakan oleh Pasukan Petugas Khas dalam tempoh sembilan bulan bermula 9 November 2021 sehingga 30 Ogos lalu.

Beliau berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan pasukan itu seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan, mengadakan siri perbincangan dan mesyuarat, lawatan kerja dalam dan luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti.

Katanya, pasukan itu juga telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil merangkumi aspek perundangan, tort of misfeasance dan hubungan Malaysia-Singapura.

“Kerajaan telah meneliti dan memuktamadkan beberapa langkah seterusnya yang akan dilaksanakan demi mengembalikan maruah serta kedaulatan negara berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan terutama melibatkan isu persempadanan maritim Malaysia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi turut menegaskan penambahbaikan yang dicadangkan pasukan itu melalui laporan berkenaan adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli pasukan.

Kata beliau, pelaksanaan Pasukan Petugas Khas itu keseluruhannya menjelaskan komitmen kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara itu dan menyokong dasar luar negara iaitu antara lainnya, menjaga dan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta keselamatan Malaysia. – MalaysiaGazette