ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Masalah kewangan menjadi motif utama seorang wanita ditemui mati dibunuh dengan lehernya dijerut dengan tali oleh kekasihnya seorang warga asing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, motif itu dikenal pasti hasil siasatan awal pihaknya dalam insiden yang berlaku di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang di sini Khamis lalu.

“Siasatan pihak polis mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan masalah peribadi (kewangan). Kita percaya berlaku pertengkaran antara mangsa berusia 36 tahun dengan suspek sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki warga asing disyaki bunuh kekasih ditahan polis

Pada 8 Oktober lalu, Noor Dellhan mengesahkan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun disyaki teman lelaki kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang wanita di tandas bilik hotel bajet berkenaan.

Suspek diberkas polis di kawasan Sentul pada Jumaat lalu kerana disyaki membunuh kekasihnya di hotel tersebut.

Polis juga berjaya menemui tali yang disyaki digunakan suspek menjerut leher mangsa sehingga mati semasa kejadian.

Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette