SERDANG – Para pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) disarankan agar memperkayakan pengalaman dan pendedahan dalam hal ehwal antarabangsa.
Mereka digalakkan bergiat aktif dalam mana-mana aktiviti yang mempunyai rangkaian mobiliti, persidangan pelajar, latihan industri dan pelbagai peluang mencungkil kemahiran lain dan bukan sekadar kecemerlangan akademik.
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Roslan Sulaiman berkata, kebolehpasaran seseorang penuntut era globalisasi kini di mata majikan dan industri dipengaruhi sejauh mana kemahiran kepelbagaian bahasa dan pengalaman pelajar peringkat antarabangsa.
Katanya, para pelajar termasuk mereka yang baharu pada sesi pengambilan akademik 2022/2023 tidak boleh rasa malu mempelajari ilmu dan kemahiran sekaligus mendedahkan diri mereka di pasaran tempatan dan dunia sebagai modal insan cemerlang.
“Selain kemahiran berbahasa Inggeris dan bonus kepada penguasaan bahasa antarabangsa lain, nilai seseorang pelajar itu adalah kemahiran digital atau dalam teknologi maklumat yang muncul sebagai faktor utama penyumbang kepada nilai seseorang pelajar dan graduan yang berkompetensi tinggi.
“Pada masa yang sama, sumbangan UPM semestinya berfokus kepada tiga aspek penting dasar penubuhannya iaitu pertanian, inovasi dan kehidupan dengan menjana modal insan kelas pertama dan memindahkan ilmu serta kepakaran kepada masyarakat yang akan diperkasa dan terus diperkukuhkan menjelang 2025.
“Bagi mendepani cabaran dalam menggerakkan transformasi itu, UPM semestinya bersifat terbuka dan bersedia menerima kritikan dan pandangan membina serta konstruktif ke arah penambahbaikan positif dalam membentuk acuan pelajar dan graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022/2023 berjumlah seramai 3,553 orang termasuk 2,431 perempuan sempena Minggu Perkasa Putra di Dewan Besar,Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM hari ini.
Tambah Roslan, para pelajar UPM juga perlu berupaya menerima perbezaan dan kepelbagaian agama, bangsa, etnik, budaya dan bahasa yang disusuli pandangan, ideologi, minat dan perspektif berbeza.
Mereka sekaligus perlu memperkayakan pengalaman pelajar sepanjang berada dalam kampus demi memperkukuhkan perpaduan merentasi sempadan negara dengan keberadaan lebih 16,000 pelajar tempatan dan 5,000 pelajar antarabangsa.
Katanya, pengalaman unik itu akan membantu seseorang pelajar UPM menjadi watak global dan di sebalik era penggunaan media sosial secara meluas oleh generasi pelajar.
Mereka juga disarankan agar mencintai kampus UPM dan memahami usahanya yang sedaya upaya dalam memenuhi kehendak pelajar setiap masa di sebalik kekangan dan cabaran yang ditempuhi.
Sehubungan itu, beliau meminta para pelajar UPM lebih matang dalam menggunakan media sosial dengan berkongsikan yang terbaik untuk universiti itu agar rakan-rakan serta ahli keluarganya merasai keseronokan anaknya menjalani kehidupan kampus.
“Saya dan para pegawai serta entiti hal ehwal pelajar serta alumni berusaha memastikan hal berkaitan kebajikan, kesejahteraan dan aktiviti pelajar sentiasa terpelihara dan dalam tahap terbaik melahirkan personaliti unggul dan berkualiti.
“Namun, pada masa yang sama saya mahu para pelajar UPM memanfaatkan peluang yang disediakan dalam kampus semaksimum yang boleh meningkatkan potensi dan mencungkil bakat yang terpendam tanpa hanya terbatas dalam akademik semata-mata,” katanya.
Setiap pelajar harus bertindak proaktif mempertingkatkan keterampilan untuk menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan kelak dan jika dia hanya cemerlang akademik tetapi tidak berkomunikasi dengan baik maka pelajar berkenaan akan berdepan masalah di pasaran kerja dan masyarakat. – MalaysiaGazette